skip to main |
skip to sidebar
Dicatat oleh
faizihan
di
9:11 PTG

Mengapa kita perlu berdoa? Bukankah Allah SWT
sememangnya tahu semua keinginan kita tanpa kita berdoa pun? Bukankah
Allah SWT mengetahui apa yang terlintas di fikiran kita? Mengapa kita
perlu berdoa lagi kerana bukankah berdoa itu sama sahaja seperti apa
yang ada di dalam hati dan fikiran kita?
Suatu ketika dahulu
saya sering putus asa di dalam berdoa. Kekadang terasa sangat penat dan
bosan berdoa kerana sangat penat menunggu apa yang diinginkan
dimakbulkan oleh Allah SWT. Sejak mengenal Allah SWT sehinggalah
beberapa tahun yang lepas, saya sering memikirkan mengapa perlunya saya
berdoa sedangkan Allah SWT mengetahui segala apa yang saya inginkan.
Mengapa Perlu Berdoa?
Berdoa adalah memohon dan
meminta serta berharap. Pemohon sudah pasti memiliki darjat yang lebih
rendah daripada Pemberi. Begitulah kita dengan Allah SWT. Jelas
menunjukkan kita memerlukan Allah SWT dan memohon pelbagai perkara di
dalam kehidupan kita ini. Darjat kita terlalu jauh malah amat jauh
sehinggakan langsung tiada darjat atau juga sebenarnya tidak boleh
membuat perbandingan langsung berbanding kebesaran Allah SWT.
Berdoa itu merendahkan darjat kita sehingga daripada kita rasa ada
apa-apa kepada tiada apa-apa langsung. Kita meletakkan diri kita
benar-benar berada di bawah. Kita memohon dan berharap sesuatu daripada
Allah SWT. Dengan berdoa kita lebih jelas siapa kita dan kepada siapa
kita memohon. Kita sedar kedudukan kita dan kita sedar kedudukan Allah
SWT. Kita sedar kita hanyalah hamba ciptaan Allah SWT dan Allah SWT
adalah Tuhan yang Maha Besar.
Namun persoalan besar di sini
adalah adakah kita benar-benar SEDAR dan merasakan sebenarnya kita ini
hamba yang lemah? atau sekadar tahu?
Doa memerlukan
KESEDARAN.
Apabila kita berdoa tanpa memiliki KESEDARAN yang
kita ini lemah di sisi Allah SWT, kita tetap ego dan berasa hebat di
sisi Allah SWT. Kita memohon tetapi permohonan kita tidak diserahkan
kepada Allah SWT. Segala keinginan yang kita inginkan adalah sepenuhnya
mengikut kehendak kita seluruhnya dan kita tidak dapat menerima kehendak
Allah SWT. Lalu di dalam tidak sedar kita menganggap Allah SWT hanyalah
sebagai Tuhan melakukan kerja untuk menunaikan segala kehendak kita.
Kalian semua,
Apabila kita berdoa, kita menyatakan
keinginan kita kepada Allah SWT dengan penuh KESEDARAN yang kita ini
lemah, bodoh, tidak berdaya dan benar-benar mengharapkan pertolongan
Allah SWT. Tetapi dalam masa yang sama kita sedia menerima segala
ketentuan yang Allah SWT tetapkan. Kita juga akan terus mengikut segala
ketetapan yang Allah SWT perintahkan kepada kita. Maka kita benar-benar
akan berserah secara total kepada Allah SWT.
Orang yang
beriman itu tidak pernah kecewa kerana sentiasa menerima ketentuan Allah
SWT dan tidak pernah putus asa di dalam mengikut ketetapan yang Allah
SWT tetapkan. Orang yang beriman sentiasa aktif. Melakukan segala kerja
dan berusaha melakukannya sebaik mungkin di atas nama Allah SWT. Urusan
rezeki dan segala penyelesaian hidup adalah hak Allah SWT yang kita
tidak boleh pertikaikan kerana ia bukan hak kita.
Di dalam
masa yang sama juga, kita yakin dan prasangka baik dengan Allah SWT
bahawa Allah SWT akan memakbulkan segala permintaan kita. Kita sangat
yakin dengan kehendak Allah SWT di mana kehendak Allah SWT merupakan
ketentuan yang terbaik di sisiNya untuk diri kita.
Bagaimana untuk
yakin? Kita perlu mencapai kesedaran. Apabila kita berada di dalam
KESEDARAN, pasti kita sangat yakin,
Kalian yang dihormati,
Memiliki kesedaran ini perlu dilatih. Ia tidak mampu dimiliki secara
terus tetapi mampu dimiliki seawal latihan. Ia akan terus meningkat
tanpa henti dan penghujung. Kesedaran ini ada turun naiknya tetapi
apabila kita sudah mencapai ke satu tahap, ia akan tersimpan di dalam
minda bawah sedar kita dan mudah untuk dicapai kembali jika kesedaran
kita menurun.
Semoga kesedaran kita akan hal Allah SWT (sifat dan
perbuatan Allah SWT) sentiasa meningkat dari masa ke semasa dan
menjadikan kita benar-benar merasai kehidupan hidup berTuhan yang
dikehendaki Allah SWT yang mana akan membawa kepada kejayaan dunia dan
akhirat seperti yang telah Allah SWT janjikan.
0 ulasan:
Catat Ulasan