skip to main |
skip to sidebar
Dicatat oleh
faizihan
di
1:01 PTG

Renungan mata mak yang tajam itu menikam jauh ke lubuk hatiku. Aku tunduk memandang tanah yang berdebu. Angin petang menderu lembut menyapa pipi. Langkah emak disusun rapi untuk sampai ke sisiku. Daun jambu batu yang kecoklatan gugur satu persatu. Aku mendongak, bola mataku tertancap pada emak yang berwajah keruh.
"Zah!" suara emak tenggelam bersama keriuhan suara anak-anak kecil yang seronok bermain kejar-kejar. Aku menoleh lambat. "Mak nak tahu dari mulut kau sendiri. Kenapa kau tolak pinangan tu?" tanya emak tegas.
Aku menelan air liur. Tekakku terasa kering. "Maafkan Zah, mak!" Aku berkata perlahan. Emak menghela nafas panjang.
"Mak terkilan Zah... Hasrat mak nak tengok kau berumah tangga nampaknya hampa lagi," suara emak tampak hiba. Aku jadi serba salah. Kata-kata emak menyentuh naluriku lantas menerobos pantas menusuk tangkai hatiku.
"Zah tahu Zah telah melukakan hati mak kali ini. Bahkan bukan kali ini saja, tapi sudah banyak kali. Tapi mak... . Zah... Zah... " Aku tidak meneruskan kata-kata. Emak memandang lembut. Aku kaget. Riak wajah emak berlainan sekali daripada tadi.
"Tapi apa Zah?" ujar emak.
Aku mengira waktu untuk bersuara. Kukumpulkan tenaga untuk menyusun kata-kata seterusnya. "Zah... Zah rasa belum bersedia lagi mak," aku menoktahkan bicara itu dengan spontan. Kutunggu reaksi daripada emak. Marahkah dia atau melentingkah?
"Apa yang kau tunggu lagi Zah? Kau bukan muda lagi. Kau dah 28 tahun. Takkan umur dah 40 tahun baru nak fikir tentang kahwin!" Emak bersuara sinis. Aku tersentak. Tak kuduga emak akan melontarkan kata-kata itu. Aku tunduk kembali. Tasik air mataku sudah mula berkocak kuat. Kutahan sekuat hati agar tidak tumpah di waktu ini.
"Zah, mak cuma fikirkan masa depan kau saja. Kau tak cemburukah melihat adik kau bahagia bersama suami dan anak-anak. Tak teringinkah kau dengan suasana seperti itu?" Emak bersuara lagi.
Hatiku menjerit kuat. Lagi-lagi adik, lagi-lagi adik. Emak selalu membandingkan aku dengan anak keduanya itu. Aku akui adikku sudah berumahtangga dan bahagia bersama suami dan anaknya. Tapi aku cuma insan biasa, mak. Aku tak mampu merubah ketentuan Ilahi. Mungkin jodohku belum tiba.
"Mak tak mahu sanak saudara dan jiran tetangga mencerca kau. Menggelar kau anak dara tua. Mak tak suka." suara emak kembali keras. Aku membisu, malas untuk menjawab. Angin emak berubah-ubah. Sekejap lembut, sekejap keras. Aku mengeluh lemah.
"Kau fikirkanlah Zah. Kau dah besar. Dah matang. Jangan buat mak terkilan lagi!" Emak melangkah meninggalkan aku sendirian di pangkin.
Aku memandang jauh ke sawah yang menghijau. Bicara emak yang tajam tadi begitu menyentuh hatiku. Aku kembali menangkap peristiwa kelmarin. Lamaran seorang doktor kutolak mentah-mentah. Entahlah. Aku tidak pasti mengapa aku berbuat begitu. Yang nyata hatiku tidak dapat menerimanya.
Aku meletakkan beg baju dalam bonet kereta. Suasana pagi yang masih sejuk membuatkan aku terasa dingin. Emak yang duduk di tangga rumah memandang dengan riak bersahaja. Aku memerhati lama. Masih marahkah emak kepadaku? Aku menghampiri emak lantas melabuhkan punggung di sisinya. Emak masih seperti tadi, diam membisu. Aku teragak-agak untuk bersuara. Pandanganku tertancap pada batang tubuh seorang wanita separuh umur yang melenggang menghampiri rumah. Dari jauh dapat kulihat senyuman Mak Lang Esah yang lebar.
"Assalamualaikum. Kau dah nak balik?" tanya wanita itu. Aku membalas dengan anggukan. Emak menyambut salamnya sedangkan aku cuma membalas perlahan. Senyum simpul Mak Lang Esah yang sinis itu seperti mengandungi maksud yang dalam.
"Sebelum Mak Lang lupa, cuti sekolah bulan depan kau jangan lupa balik ke sini. Si Liza tu kan nak kahwin. Jadi Mak Lang harap kau dapatlah bantu dia apa yang patut!" Mak Lang Esah tersengih.
Aku merenung tajam pada wajah wanita itu. sudah kufahami maksud kata-katanya tadi. Emak menoleh ke arahku. "Tengoklah nanti kalau saya dapat cuti. Saya cakap terus terang Mak Lang, saya tak pandai dalam hal-hal macam ini. Saya pergi sebagai tetamu sudahlah!" Balasku dengan cebikan. Mak Lang Esah tertawa mengekik.
"Kalau kau tak pandai, kenalah belajar sekarang. Nanti kalau ada yang masuk meminang senanglah nak uruskan. Tak gitu kak Leha?" Mak Lang Esah menepuk bahuku sambil tertawanya berderai.
Aku mencebikkan bibir. Orang tua ni tak sayang mulut agaknya! Hatiku mendengus kasar.
"Zah balik dulu mak. Maaf atas segala yang telah berlaku. Zah harap mak dapat maafkan Zah!" Aku mencium tangan emak. Emak hanya mengangguk. Sepatahpun tiada bicara yang keluar dari mulutnya.
"Mak Lang, Zah balik dulu. Kirim salam pada Liza. Tahniah Zah ucapkan pada Mak lang sebab dapat menantu duda!" Aku tersenyum sinis. Mak Lang menjuih bibir.
"Duda pun tak apa asalkan hajat aku bermenantukan orang kaya tercapai. Tak macam kau, langsung tak ada!" Mak Lang Esah melangkah pergi dengan jelingan yang tajam padaku.
Aku mengetap bibir, geram melihat perilaku ibu saudaraku yang sombong itu. Kalau tidak kerana dia bersaudara dan lebih tua daripada aku, ingin rasanya hati ini membalas kembali sindiran tajamnya tadi. Aku mengerling ke arah emak. Wajah emak yang tampak bersahaja meruntun hatiku. Sampai hati emak memperlakukan aku sedemikian. Emak memendam rasa hati yang kecewa sejak dari kelmarin lagi. Aku melangkah masuk ke dalam kereta dengan iringan keluhan berat. Enjin kereta menderum dan kereta meluncur laju meninggalkan halaman rumah yang menyaksikan segalanya.
******************************************************************
"Cik Izah, ada orang nak jumpa!"
"Siapa?"
"Entah. Tapi penting katanya!" Eja setiausaha pejabat membalas dari mesin interkom.
"Baiklah, suruh dia masuk!"
Tak sampai lima minit kedengaran pintu diketuk kuat. Aku mendongak. "Masuk."
"Assalamualaikum Cik Izah" suara garau seorang lelaki menyapa lembut ke telingaku. Aku terpempan. Wajahnya yang kacak itu membuatkan aku keresahan.
"Boleh saya duduk?"
Aku mengangguk perlahan. Dia memandang wajahku dengan pandangan berkerut. Aku tersentak daripada kejutan yang lama.
"Kenapa? Hairan melihat saya di sini?" katanya sambil tersenyum simpul.
"Er... tak. Cuma... eh! Bila balik dari UK?" aku mengalih kata. Dia merenung tajam. Aku jadi serba tak kena kerana panahan matanya yang tajam itu.
"Well, sudah dua hari. Kelmarin saya ada telefon, dia orang kata you balik kampung!" katanya lagi. Aku mengangguk.
"Kau banyak berubah sekarang!" Shamsul, lelaki yang pernah bertakhta di hatiku dulu kini berada di depan mata. Aku tersenyum pahit.
"Makin cantik!" terpacul kata-kata itu dari bibirnya. Aku tersentak.
"Kau pun apa kurangnya. Bertambah segak," aku memulangkan paku buah keras. Shamsul berdehem perlahan.
"So... apa yang penting sangat kau nak jumpa aku?" Shamsul membetulkan duduknya. Aku menantikan bicara yang akan diucapkannya.
"Dah lima tahun kita tak jumpa. Tentu banyak yang telah berlaku dalam tempoh itu. Jadi aku harap kau dapat luangkan sedikit masa untuk aku hari ini," Shamsul memandang dengan pandangan penuh harap. Aku terdiam sejenak. Hatiku berkira-kira untuk menerima pelawaan itu atau tidak. Kupandang Shamsul yang sedang menanti jawapan daripadaku.
"Baiklah," balasku pendek. Shamsul tersenyum lebar.
"Kalau macam tu, lunch time nanti I jemput you." Aku mengangguk acuh tak acuh. Shamsul tersengih lalu melangkah pergi. Aku tersandar di kerusi empuk. Mataku terpaku pada siling yang putih bersih. Tergambar nostalgia lama di ruang mata. Siling yang bagaikan layar memori itu menayangkan segala peristiwa yang berlaku lima tahun lalu. Shamsul adalah satu nama yang gagah di hatiku suatu ketika dahulu. Kini, entahlah. Aku sendiri tidak pasti adakah hati ini masih lagi menyimpan kasih padanya. Bila kukenang kembali saat cinta bersamanya dahulu hatiku tersentuh pilu.
Janji setia terpateri, ungkapan kasih bersemi di hati. Kala itu kurasakan diriku amat bahagia. Setiap hari yang mendatang kulalui dengan hati yang berbunga. Waktu itu aku masih di tahun akhir pengajian, begitu juga Shamsul. Kasih kami tiada halangan walaupun Shamsul menjadi kegilaan para gadis di universiti. Aku tidak kisah semua itu kerana aku tahu hanya aku yang bertakhta di hati Shamsul. Dan yang paling menggembirakan aku, keluarga Shamsul menerima baik kemunculanku dalam hidup anak mereka. Walaupun Shamsul anak orang berada tapi keterbukaan keluargaanya membuatkan aku semakin yakin dengan kasih sayang Shamsul terhadapku.
Tapi takdir Yang Kuasa tiada siapa yang tahu. Shamsul pergi demi mengejar ilmu. Keinginan yang lama terpendam akhirnya tercapai jua. Aku tidak berupaya untuk menghalang. Dia pergi demi meraih kejayaan. Dengan berat hati aku merelakan pemergiannya ke seberang laut walaupun pada hakikatnya hatiku terguris. Lima tahun adalah jangka masa yang begitu lama. Lima tahun segalanya boleh berubah. Walaupun aku yakin Shamsul akan setia pada yang satu, tetapi detik hatinya siapa yang tahu.
Aku tersentak kecil. Usikan memori lama membuatkan aku jauh mengelamun. Aku mengerling pada jam di tangan. Ah, sudah waktu makan tengah hari. Aku teringat temu janji dengan Shamsul. Dengan tergesa-gesa aku menuju ke pintu dan melangkah ke tempat meletak kereta. Wajah Shamsul kelihatan segar di ruang mata. Bibirku menguntum senyum.
******************************************************************
"Dia sudah kembali, Lia!" Aku memecahkan suasana petang yang hening dengan getaran suara yang mendatar. Kamalia, teman rapatku sejak dari kampus merenung lama.
"Maksud kau... Shamsul?"
Aku mengangguk lemah. Kamalia kembali memandang tasik yang tenang.
"Dia datang jumpa aku!" ujarku hambar.
"Bila?"
"Kelmarin. Dia datang ke pejabat," balasku.
"Macam mana dia tahu kau kerja di situ?" tanya Kamalia.
"Entah. Akupun tak tahu. Apa yang pasti kedatangannya membuatkan hati aku resah."
"Kenapa? Cinta lama kembali berputik!" Kamalia tersenyum sumbing. Aku memandang jelek.
"Aku tengah tension ni. Kau janganlah buat lawak pula Lia." Aku menarik nafas panjang. Kamalia mengangguk perlahan.
"Aku takut Lia. Daripada kata-katanya seolah-olah dia ingin menyambung kembali hubungan yang telah lama putus tu," luahku dengan helaan nafas yang panjang.
"Baguslah macam tu. Kau pun masih single. Aku rasa dia sayangkan kau. Kalau tidak takkan dia datang cari kau," Kamalia berkata lembut.
Angin petang menderu nyaman menampar lembut pipiku. "Aku tak pasti sama ada aku masih dapat menerima dia atau tidak," selaku tegas. Aku termenung sejenak. Hatiku berdetak resah. Jiwaku tertanya sendiri adakah aku masih menyayangi dirinya seperti lima tahun. Aku buntu.
******************************************************************
Bunga telur berwarna keemasan itu kubelek dengan penuh minat. Kemilaunya memancar mata. Haruman bunga rampai menusuk hidung lantas aku bangun menghampiri pelamin yang siap digubah dengan indah. Warna kuning air pada tirai digabung dengan warna merah jambu begitu romantis. Aku tersenyum sendiri.
"Dalam banyak-banyak warna, Sham suka warna apa?"
"Putih gading."
"Kenapa?"
"Putih melambangkan kesucian, keikhlasan, ketulusan dan macam-macam lagi."
Aku tersenyum simpul. Wajahnya kupandang dengan penuh kasih. Dia merenuhku tajam.
"Izah?"
"Izah suka warna peach. Lembut, romantik dan mempesonakan," aku membalas manja.
Shamsul tertawa kecil. "Kalau macam tu, bila kita kahwin nanti Sham nak gabungkan dua warna di pelamin. Macam mana?" Shamsul mengira keriangan. Aku terpegun.
"Kita?"
"Sudah gaharu cendana pula," balas Shamsul mencebik. Aku tertawa riang.
"Siapa yang nak kahwin dengan awak," aku kembali mengusik.
"Adalah, tapi bukan awak," Shamsul mengenakan aku pula. Aku tersengih. "Sayapun tak inginkan awak," aku bangun lalu melangkah ke kampus. Shamsul terkocoh-kocoh mengekori.
******************************************************************
"Kak Zah!" Aku tersentak. Lamunan terhenti dengan serta merta. Wajah ayu yang sedang memandangku tersenyum sinis.
"Bila Kak Zah sampai? Kenapa tak masuk ke bilik?" Liza yang anggun dimekap tersenyum.
Aku membalasnya dengan tawar. "Kak Zah minta maaf sebab tak dapat bantu Liza untuk persiapan ini. Kak Zah tak dapat cuti," aku mengalih tajuk perbualan.
"Tak apa. Liza faham. Kak Zah datang hari ini pun Liza bersyukur. Nanti Kak Zah boleh jadi pengapit Liza," Liza tersengih.
Aku terpempan. "Eh, kenapa Kak Zah pula? Kan Liza ada ramai kawan. Suruh merekalah. Kak Zah seganlah!" Aku menolak keras.
Liza mengerut dahi. "Ala... bolehlah Kak Zah. Kawan Liza semua tak nak. Tolonglah Kak Zah," Liza merayu. Aku serba salah. Nak terima aku jadi segan, kalau kutolak tak sampai hati apabila melihat sinar mata Liza yang begitu mengharap. Dalam terpaksa aku mengangguk. Liza tersenyum riang.
Aku tercacak di sisi Liza bagaikan patung bernyawa. Mataku mengerling ke arah Liza yang tersenyum lebar. Suami Liza segak di sisinya dengan cermin mata hitam. Aku tergelak dalam hati. Dari saat ke minit, minit ke jam. Aku masih terpaku di sisi pengantin. Tanganku terasa lenguh menggoyang kipas. Sesi tepung tawar masih belum selesai. Begitu ramai sanak saudara yang ingin merestui pengantin. Aku mengeluh penat. Sesekali aku mengesat peluh yang merenik di dahi Liza.
Dari jauh kulihat emak berlenggang untuk menepung tawar. Sesampai emak di pelamin, tangannya pantas mencapai air mawar dan bunga rampai. Selesai menepung tawar, emak memandangku dengan pandangan yang penuh bererti. Aku tunduk tak sanggup menentang pandangannya yang tajam. Emak berlalu setelah menerima bunga telur. Hatiku sungguh tersentuh dengan pandangan emak. Selepas pemergian emak seorang anak muda berbaju melayu putih gading menghampiri pelamin. Aku memandang warna baju itu. Wajahnya tiba-tiba menjelma. Hatiku jadi sebak dengan tiba-tiba.
"Kak Zah, tolong betulkan rambut saya," bisikan Liza mengejutkan aku dari dibuai perasaan. aku cepat-cepat membetulkannya. Pemuda yang sedang menepung tawar itu memandangku sambil tersenyum. Aku tersentak dan hatiku bagaikan tidak percaya. Aku melarikan pandangan daripada terus bertentangan mata dengannya. Pemuda itu berlalu dengan senyum meleret. Aku tidak tahu apakah maksud di sebalik senyuman itu. Dadaku berdebar kencang dan penyakit darah gemuruhku datang lagi.
Aku memanggil seorang kawan Liza untuk menggantikan tempatku. Dengan tergesa-gesa aku melangkah ke bilik air. Aku tersandar ke pintu. Dadaku berombak kencang. Nafasku turun naik seperti seorang atlet yang penat berlari. Aku tidak tahu mengapa aku berperasaan sebegini. Mengapakah bila aku terpandang dia hatiku jadi tak keruan. Aku termenung sejenak. Kenapa dia berada di sini dan apakah kaitannya dengan majlis ini. Aku tercari-cari jawapannya.
Setelah menarik nafas panjang, aku melangkah keluar melewati bahagian dapur di mana emak dan beberapa orang wanita sedang rancak berbual. Demi terpandang aku, Mak Jah yang terkenal seperti mulut murai tersenyum sumbing pada emak.
"Hai Kak Leha. Bila lagi nak buat nasi minyak? Tak kan sekali saja. Kita ni dah lama kempunan nak makan nasi minyak di rumah Kak Leha!" Mak Jah bersuara tajam. Aku memandang pada kelompok itu. Geram melihat wajah-wajah yang sedang tersenyum mengejek. Emak memandangku dengan wajah yang terluka. Aku tersentuh dengan renungannya. Sakit rasa hatiku. Aku menghayun langkah ke bilik pengantin. Keadaannya agak lengang memandangkan semua tetamu bertumpu di tempat persandingan. Aku menjenguk ke dalam bilik kalau-kalau ada kekurangan.
"Apa khabar Izah? Tak sangka kita bertemu di sini," tiba-tiba satu suara lelaki menegur dari belakang. Aku tersentak. Dadaku berdegup kencang. Aku menoleh pantas. Wajah tadi kini berada di depan mataku.
"Err... Shamsul. Kau buat apa di sini?" suaraku terdengar bergetar. Shamsul tersenyum.
"Pengantin tu sepupu I," balas Shamsul.
Aku mengangguk faham. Rupa-rupanya suami Liza adalah sepupu Shamsul. Aduh... kenapa jadi begini. Aku tercari-cari idea untuk meneruskan perbualan, sedangkan Shamsul hanya membisu.
"Izah, saya ada sesuatu nak cakap pada awak," Shamsul bersuara lembut. Aku mengerling sekilas. Raut wajahnya menyatakan niat Shamsul yang serius.
"Apa dia?"
"Saya rasa ini bukan waktu yang sesuai. Jumpa aku di sawah pukul 2.00."
"Kenapa? Rahsia besar sangat ke?" Soalku ingin tahu.
"Kalau kau nak tahu, jumpa aku di sana," Shamsul melangkah pergi meninggalkan aku yang terkapai-kapai. Aku kebingungan sendirian. Raut wajah dan kata-katanya yang serius membuatkan aku tertanya-tanya di dalam hati.
Tepat pukul 2.00 petang aku sudah terpacak di dangau sawah. Awalnya aku teragak-agak untuk datang, tetapi setelah kufikirkan niat Shamsul yang kelihatan ikhlas, aku tidak sampai hati pula untuk menolak. Atas dasar persahabatan antara kami aku datang juga seperti yang dijanjikan.
"Terima kasih kerana sudi datang," tiba-tiba Shamsul bersuara dari belakang. Aku menoleh. "Aku tahu, kau tentu tidak akan menolak. Dan aku juga pasti yang kau ingin tahu apa yang ingin kusampaikan," Shamsul melangkah lalu melabuhkan punggungnya di lantai dangau. Baju melayu putih gading itu masih dipakainya.
"Apa yang penting sangat yang awak nak cakap pada saya?" tanyaku sambil menguis rumput di kaki.
"Sebelum aku cakap... aku nak tahu. Izah, apakah kau masih sayang padaku?" Aku tersentak dengan saoalan itu. Shamsul menarik nafas panjang.
"Kenapa kau tanya? Apakah ia ada kena mengena dengan apa yang akan kau cakapkan?" tanyaku lagi.
"Aku tak tahu apa yang kau fikirkan selama ini, tapi aku tahu kau masih sayangkan aku. Kau masih sendiri biarpun telah lima tahun aku abaikan dirimu."
Aku terkedu. Kata-kata Shamsul menusuk jauh ke lubuk hatiku. Kolam air mataku sudah berkocakan. Oh, begitu murahnya air mata ini. Terlalu cepat ia tumpah di depan seorang lelaki. "Aku tak tahu Shamsul. Aku tak tahu!" bentakku keras sambil tanganku pantas menyeka titik jernih yang mula mengalir.
"Biarlah aku berterus terang saja Izah. Aku masih sayangkan kau. Walaupun selama ini kita tidak pernah berhubung, tapi setiap saat aku sentiasa mengingatimu. Aku tahu kau kecewa atas segala yang berlaku antara kita selama ini. Tapi percayalah Izah. Cintaku pada kau tak pernah berubah dan tak pernah luak walau sedikit pun!"
"Kau terlalu yakin," tingkahku.
"Keyakinan itulah yang memberikan kekuatan pada aku selama aku di sana. Keyakinan itu jugalah yang membawa aku datang bertemu dengan kau," ujar Shamsul serius. Aku menoleh ke arahnya. Mataku menangkap wajahnya yang tenang. Dari air mukanya aku tahu dia bersungguh-sungguh.
"Aku mahukan keputusan daripada kau Izah."
"Keputusan apa?"
"Sama ada kau masih sayangkan aku seperti dulu ataupun tidak."
Aku diam. Hatiku berbelah bagi. Adakah aku masih sayang padanya? Aku tidak pasti dengan perasaanku sendiri.
"Cakaplah," Shamsul mendesak. Aku tunduk memandang rumput yang hijau.
"Berterus teranglah Izah. Jangan buat aku tertanya-tanya," rayu Shamsul.
"Aku tak tahu. Aku tak tahu sama ada aku masih sayangkan kau. Tolong jangan desak aku lagi," aku mengeluh perlahan. Shamsul menarik nafas panjang. Aku tahu itu bukan jawapan bagi soalan yang ditanya oleh Shamsul. Aku tahu dia kecewa.
"Baiklah. Aku tak akan mendesak lagi. Aku beri kau masa untuk fikirkannya. Aku tidak memaksa. Walau apapun jawapan kau, aku terima," Shamsul menghampiriku lalu menggenggam tanganku erat. Aku terharu dengan tindakannya itu. Bunga rampai yang masih harum baunya diletakkan di tapak tanganku perlahan-lahan. Aku memandang sayu pada bunga ramapai itu. Bila aku menoleh, Shamsul sudah jauh daripada pandanganku, dan air mataku tumpah tanpa dapat kutahan lagi.
*********************************************
Aku mencapai dulang berisi cawan dan teko. Air berwarna jernih meluncur laju ke dalam cawan yang sudah ternganga. Wap nipis berkepul-kepul di udara. Selendang yang tersangkut di kerusi kucapai untuk menutup rambut hitam lebatku.
"Izah, bawakan airnya," panggil emak di ruang tamu mengejutkan aku yang sedang menatang dulang. Hampir-hampir dulang yang kubawa jatuh. Aku mengucap panjang. Dengan sopan aku meletakkan dulang air di atas meja yang beralas kain sulam. Enam pasang mata sedang memerhatikan tingkah laku diriku.
Senyuman terukir di wajah tetamu yang sudah lama kukenali. Setelah selesai menghidang aku melangkah masuk ke dapur. Hatiku berdebar kencang. Sesekali kedengaran suara tetamu ketawa sambil berselang-seli dengan ledakan tawa emak. Aku memandang emak yang menoleh ke arahku. Wajahnya menceritakan sesuatu. Aku faham riak wajah tua itu. Tanpa rasa berbelah bagi, aku tersenyum mekar. Emak merenung lama. Riak wajahnya berubah dan senyuman lega menghiasi bibir tuanya. Aku memandang bunga rampai di genggaman. Harumannya jauh menusuk ke lubuk hatiku. Jiwaku terasa bahagia. Hatiku tersenyum megah dan apa yang paling pasti, dua warna simbolik itu akan bersatu.
0 ulasan:
Catat Ulasan