"Atok! Mug ni siapa yang punya, atok ker?," tanya Aizul yang sedang menolong atoknya mengemas barang-barang lama kepunyaannya. Mug yang berwarna hijau jernih itu telah dicantumkan dengan kesan retak yang jelas kelihatan, terletak dalam satu bekas kayu yang diukir cantik dengan sisinya berkaca jernih. Atok memandang kepada bekas tersebut dengan wajah tenangnya. Dimatanya bagai tersembunyi suatu rahsia yang lama terpendam jauh dilubuk jiwa.
"Oh... mug ni hadiah dari kawan baik atok dulu. Dia bagi untuk harijadi atok yang ke-20, tahun 65 seingat atok. Masa tu atok baru nak masuk universiti." Jelas atok kepada cucunya Aizul yang baru berusia 12 tahun. "Kenapa atok simpan lagi benda ni, kan dah pecah. Kenapa atok cantumkan pula? Macam mana mug ni boleh pecah? Mesti mak yang pecahkan masa kecil dulu kan?", timbul pelbagai pertanyaan dalam minda cucunya itu. "Aizul nak tahu ker?" terus saja Aizul mengangguk. "kalau macam tu, meh duduk kat atok sini. Atok nak bagi tahu satu cerita." Diribanya Aizul dengan manja.
"Mug ni dihadiahkan oleh sahabat karib atok. Dino namanya. Atok dah berkawan ngan Dino ni sebelum masuk tadika lagi, masa tu atok duduk kat kampung dengan tok nyang Aizul. Atok dengan Dino ni macam Along dan Angah Aizul lah, sekejap gaduh lepas tu baiklah. Macam itulah sampai ke besar, tak ubah-ubah," atok memulakan ceritanya. Aizul tersenyum mendengarnya, cuba memberikan tumpuan terhadap atoknya.
Selepas sekolah menengah atok dan Dino ditawarkan untuk melanjutkan pelajaran di universiti berlainan. Atok dapat tawaran ke UM, Dino pulak ke UTM di Johor. Itulah kali pertama Allah memisahkan perhubungan persahabatan kami. Sebelum ni, pergi sekolah sama, berjalan sama, tak pernah pisah sampaikan orang kampung, kawan dan cikgu kat sekolah pun tahu betapa akrabnya atok dengan Dino.
"Ala Boy, apasal ko dapat kat UM lak! Ni yang tak best ni, bosanlah aku kat sana nanti. Kau mintaklah kat UTM, takkan ko nak biarkan aku sorang je kat sana... ," pinta Dino bila dia tahu pasal tawaran itu. "Takpelah Dino, inikan dah takdir Allah. Adalah kelebihannya tu yang kita manusia ni tak nampak. Rileks lah," atok cuba ambil hati sahabat atok itu. "Apa kata kau ubah takdir tu, bukan tak boleh. Bila-bila je kau nak, bapa aku boleh tolong la... " Itulah sikap Dino, seorang anak kepada ahli perniagaan dan ahli politik yang punya pengaruh. Kadang-kadang mereka merasakan dengan kuasa yang sedikit itu mereka boleh lakukan apa saja. Ayahnya Pakcik Usop baik dengan keluarga ayah atok.
"Astaghfirullah budak ni, tak baik kau cakap macam ni," belum pun sempat atok nak sambung dia mencelah "yelah-yelah, aku tak betul. But Boy, I will miss you so much. You're my best friend ever. Ahh... I just can feel that feeling now," kemudian dia terus peluk atok seerat-eratnya. Macamlah yang atok takkan jumpa dia lagi. Tapi itulah luahan hati yang belum pernah atok dengar dari Dino sejak berkawan dengannya.
Sehari sebelum atok bertolak ke UM untuk urusan pendaftaran, banyak masa atok habiskan bersama Dino. Dino pula akan bertolak ke UTM sehari lewat dari atok. "Boy, kau ni budak baik. Patutlah Allah pisahkan aku dengan kau. Aku ni terlalu banyak buat dosa. Sembahyang entah kemana, puasa lagilah. Kau pula sekarang ni berkopiah memanjang. Kadang-kadang tu aku terasa malu nak berborak ngan kau bila aku tengok betapa bezanya antara kau dan aku." Bicara Dino.
"Dino, janganlah kau cakap macam tu... . kita kan dah lama bersahabat, dah berbelas tahun. Mak kau tu macam mak aku dah dan mak aku pula macam mak kau jugak. Bukankah Allah yang tentukan kita untuk jadi sahabat di dunia ni? Takkanlah kau berani cakap macam ni, apakah Allah telah tersilap dalam hal ini. Allah bebas dari segala kesilapan, kau pun tahu kan?" terang atok kepada dia.
"Boy, sebenarnya dah lama aku nak bagitau kat kau satu perkara ni, tapi aku segan. Tapi kan, pasal esok kau dah nak pergi tinggalkan aku, takdelah aku malu sangat nanti," Dino cuba menceritakan sesuatu sambil tersengih-sengih manja seperti yang selalu dibuatnya. "Eleh... macamlah aku tak boleh jumpa kau lagi lepas ni, ada cuti aku balik sini jugak. Kalau tak jumpa kau, siapa lagi aku nak jumpa?" Usik atok.
"A'ah yek! Macam tu tak jadilah, cancel... " rajuk Dino saje bergurau.
"Merajuk lak budak ni... bagi tahu jelah kat aku. Bukan ke aku ni penyimpan mohor besar kau. Aik... ada lagi rupanya yang aku tak tahu dari kau. Ha... ceritalah cepat," desak atok.
Boy membetulkan duduknya kembali, "Sejak kau jauhkan diri dari member-member kita dulu aku betul-betul rasa pelik, dengan perubahan yang kau tunjukkan pada diri kau. Dulu kau ni kaki lepak, kaki rayau macam aku ni, sekarang ni kau dah jadi kaki surau pulak. Dulu bertopi, berseluar pendek, sekarang semua tu dah takde lagi. Aku ingat masa tu aku mungkin aku akan kehilangan kau, tapi aku silap."
Dino berhenti sebentar kemudian menyambung, "Mula-mulanya aku tak faham atau mungkin saja tak nak faham. Lama-lama barulah aku boleh terima perubahan yang ada pada kau. Kadang-kadang tu aku rasa bertuah juga pasal kau sudi lagi jadi kawan aku walaupun aku masih lagi tetap macam dulu." Kemudian Dino berhenti sebentar, agak lama juga sebelum atok mencelah.
"Cakaplah lagi, mesti ada lagi benda yang kau nak cakap kat aku kan,.. cakaplah lagi," atok cuba mengajak Dino untuk terus berbicara.
"Macam ni Boy, sebenarnya bila aku tengok perubahan kau, aku pun ada terfikir untuk berubah juga. Aku terfikir sampai bilakah aku nak terus-menerus begini jadi kaki lepak, kaki perempuan. Tapi... aku rasa malu pula dengan member-member kita yang lain. Masa kau berubah dulu pun macam-macam yang aku dengar dari mulut mereka. Ada yang kata kau ni dah masuk ajaran sesat lah sampaikan aku naik marah pada diorang. Aku tahu Boy kalau kau ni sesat, kami ni lagilah sesat. Kau rasalah Boy boleh ker aku berubah?"
Gembiranya hati atok mendengar akan pengakuan ikhlas dari sahabatnya itu, "Alhamdulillah kalau kau ada terfikir ke arah itu. Dulu pun sebelum aku jadi macam ni, aku pun ada terfikir macam yang kau fikir sekarang. Sampai bilakah aku nak jadi macam ni?" dengan tiba-tiba Dino mencelah, "macam mana kau berubah Boy, boleh ker aku buat macam tu?"
Kasihan atok melihat Dino. Dia benar-benar nak berubah tapi dia terlalu risaukan apa pandangan orang lain terhadap dia kelak, terutamanya dari kawan-kawannya yang lain dan mungkin juga dari teman wanitanya. Tapi itu semua adalah bisikan syaitan yang cuba memperdayakan manusia. Syaitan itu hanya mampu menyeru manusia ke arah kejahatan, mereka langsung tiada kekuatan membawa manusia ke arah itu. Kita manusialah yang telah menyahut seruan-seruan syaitan itu. Atok cuba mengikut rentak hati dia sebaik mungkin.
"Aku tahu Dino, memang susah kita nak berubah bila kita dah terlalu biasa buat sesuatu perkara itu. Tapi kita perlu dan mesti terutamanya bila nak berubah menjadi lebih baik. Sebelum ni aku kerap melupakan Allah tuhan yang telah menjaga dan memelihara aku selama ini. Tuhan yang telah memberikan rezeki pada aku. Allah sentiasa memerhatikan kita, tapi kita pulak pergi tengok perkara-perkara maksiat. Subhanallah... Dino... bila aku fikir keadaan aku dihadapan Allah nanti, aku rasa malu betul dan takut. Malu kerana melupakan Dia yang tak pernah melupakan aku. Takut kerana memikirkan kemurkaan Allah pada aku yang sering melanggar perintah dan suruhanNya seperti Dia itu langsung tidak wujud. Allah hu akhbar... " tanpa atok sedari dimatanya telah bergenang air mata. Cuba ditahan ia daripada terus menitis terutama sekali dihadapan sahabatnya Dino. Atok berhenti sebentar dan dilihatnya wajah Dino tergambar air muka keinsafan, diam tertunduk membisu.
"Banyak bukti kebesaran Allah tapi kita buat-buat tak nampak. Mata hati kita telah buta untuk itu mungkin dek kerana daki-daki keduniaan dan nafsu semata. Manusia terutamanya mereka yang islam kalau ditanya adanya Allah, semuanya menjawab penuh keyakinan bahawa Allah itu wujud. Tapi lihatlah apa yang mereka buat, yang dilarang Allah itulah yang mereka buat. Apa yang Allah suruh ditinggalkan pula. Yang Allah benci itulah yang dicarinya dan sebaliknya. Kadang-kadang aku memarahi diri aku sendiri dan sikap manusia itu. Sanggupnya kita melupakan Allah. Segala nikmat yang Allah beri jarang sekali disyukuri, malah digunakan pula untuk perkara yang tidak disukai Allah. Itulah manusia Dino. Kau, aku dan semua orang kena berubah. Ustaz Kamal ada memberitahu aku, hati manusia itu mudah mati kiranya didalamnya sudah tiada lagi kebesaran Allah. Kita terlalu banyak membicarakan kebesaran selain dari Allah, iaitu ghairullah. Untuk menghidupkan hati kita kembali, kembalilah pada al-Quran dan sunnah Rasullullah seperti mana yang ditunjukkan oleh sahabat-sahabat baginda. Kita mesti selalu bercakap tentang kebesaran Allah. Tapi mereka malu nak buat macam tu, yang mereka tak malu bila membesarkan makhluk. Orang ni suara best, orang tu pandai main bola, skill dia bagus, orang ni pula telah mencipta satu alat yang hebat, padahal semuanya datang dari Allah. Itu tak pula mereka nampak, kejinya manusia." Lama juga atok bercakap. Sekali-sekala tu Dino mengangguk kepalanya tanda setuju. Susah juga atok nak membicarakan hal-hal yang seperti itu, tapi atok lega kerana dapat juga beritahu Dino apa yang atok hendak cakap sebelum ini. Lagipun dulu atok pun lebih kurang sama dengan dia sahaja.
"Betullah apa yang kau cakapkan tu Boy." Dino memecahkan kesunyian antara kami. "Terima kasih Boy kerana sudi berbual dengan aku ni sebelum kau pergi esok. Aku takkan lupa sampai bila-bila. Aku benar-benar nak berubah sekarang. Doakanlah untuk aku Boy... doa kau tentu makbul."
"Insyallah... " jawab atok pendek. Sebenarnya hampir setiap kali selepas sembahyang atok tak pernah lupa meminta pada Allah supaya mereka berdua sentiasa memperoleh petunjuk dan hidayah daripadaNya.
"Ha... esok kau bertolak ke KL selepas subuh kan. Kau tunggu aku tau, pasal aku ada sesuatu nak bagi kat kau". "Benda apalah yang kau nak bagi kat aku ni?" Tanya atok. "Adalah... mana boleh bagi tahu, tak 'surprise' la nanti. Kau jangan pergi selagi aku tak datang, kalau kau pergi, siaplah kau... " Dino cuba mengugut dengan mukanya yang dibuat-buat serius itu. Atok hanya tersengih sambil menepuk lembut belakangnya.
"Ehh... takkan dah nak balik kot. Baru pukul berapa ni? Duduklah lagi berborak ngan aku, nanti entah bilalah aku dapat berborak ngan kau lagi. Balik lambat sikitlah." Atok cuba memujuk, dilihatnya jam di tangan baru menunjukkan pukul 10 malam.
"Takpelah Boy. Aku ada hal sikit. Kau tidurlah awal sikit malam ni, esok nak jalan jauh. Oklah aku nak balik, esok aku datang." Jelas Dino.
"Kalau macam tu, oklah. Esok jangan kau tertidur pulak. Kalau lambat sangat aku pergi terus jelah." Sebelum dia balik, kami bersalam dan berdakap. Dino berpesan lagi supaya atok tunggu dia esok. Selepas dia pergi, atok terfikir mungkin ada sesuatu yang telah atok cakapkan yang mungkin menyentuh hati Dino sehinggakan dia nak balik secara tiba-tiba begitu. Kelakuannya agak pelik malam ini, mungkin ia hanya perasaan atok saja. Atok cuba menyedapkan hatinya. "Tak mengapalah, esok subuh aku minta maaflah pada dia," bisik hatinya.
Subuh
"Ish, mana pulak Dino ni. Kata nak datang, ni dah dekat pukul 7 takde pun lagi. Pak Mat tunggu kejap lagi yer... " atok cuba tenangkan hati Pak Mat, jiran sebelah rumah. Kebiasaannya kalau nak pergi ke bandar atau sesuatu tempat yang jauh ayah atok akan meminta pertolongan Pak Mat kerana dia mempunyai kereta. Walaupun keadaan keretanya agak uzur, tapi sudah banyak berjasa kepada keluarganya dan juga orang kampung. Mak dan ayah atok minta supaya bertolak segera kerana risau terlambat pula untuk urusan pendaftaran tersebut, tapi atok minta agar ditunggu sebentar lagi.
Dari jauh kelihatan kelibat manusia yang sedang menaiki motosikal. Dari bunyi enjinnya, ia ternyata bukan milik sahabatnya. Hampa. Orang itu menuju ke rumah atok dan terus saja memberi salam kepada ayah dan Pak Mat. Bila sudah dekat barulah atok perasan yang orang itu adalah Pak Long, bilal surau. Dia bercakap kepada ayah dan Pak Mat dengan suara yang tidak jelas pada atok. Bagaikan orang yang sedang berbisik suatu rahsia pula.
"Innalillahi wa inna ilaihi raji'un" terdengar jelas dari mulut ayah dan kemudian "Boy, kawan kau Dino dah meninggal dunia lepas sembahyang subuh tadi. Sabarlah Boy, sabarlah nak. Semua ni sudah ketentuan dari Allah." Ayah atok kelihatan tenang saja ketika menyampaikan berita tersebut.
Patutlah Pak Long seperti berbisik-bisik pada ayah atok. Mungkin dia tak mahu atok terkejut bila mendengar berita itu nanti sebab dia pun tahu betapa rapatnya atok dengan Dino. Saat mendengarkan berita itu, terasa seperti tanah tempat atok berpijak sudah tidak wujud lagi. Atok tergamam membisu, terduduk dan tidak tahu apa yang hendak dikatakan. Ayah menghampiri atok dan diusapnya lembut kepala atok. "Sudahlah, bersiaplah kita pergi ziarah keluarga arwah. Esok sajalah kita bertolak ke KL tu," cadang ayah pada atok bila dilihatnya atok begitu.
Atok hanya mengangguk saja mendengar cadangan ayah itu. "Dino... ." dengan perlahan-lahan atok memanggil nama itu, satu nama yang penuh bermakna dalam hidup atok. Seiring dengan ucapan itu setitik air mata panas mengalir jatuh terus ke bumi. Itulah harinya atok kehilangan seorang sahabat karib didunia ini.
Keesokan harinya atok terpaksa juga bertolak ke KL untuk urusan pendaftaran yang terlewat itu. Perasaan kehilangan sahabatnya semalam masih belum dapat dilepas pergi. Sebelum bertolak ayah atok menyampaikan satu bungkusan hadiah untuknya. Katanya, "Arwah Dino bagi untuk harijadi Boy semalam. Ayah pun tak ingat semalam harijadi Boy. Malam tadi Pakcik Usop datang rumah nak bagi Boy hadiah dari arwah yang dia tak sempat nak bagi, tapi Boy dah tertidur pula. Ayah ingat nak kejutkan Boy juga tapi bila Pakcik Usop tengok Boy dah nyenyak tidur, kasihan pula dia kat Boy, dia cuma kirim salam je kat Boy."
Aduh... remuknya hati atok bila diambilnya bungkusan hadiah tersebut. Mungkin itulah 'surprise' yang dikatakan oleh arwah malam sebelum dia meninggal dunia. Sungguh pemergian Dino itu adalah satu 'surprise' yang besar dalam hidup atok selamanya. Diatas bungkusan itu ada sekeping kad ucapan. Dibukanya ia dan ada tertulis suatu ucapan yang ringkas namun penuh bermakna.
Specially For Boy,
Happy Birthday!
Dari sahabatmu... Dino (... will you miss me ?... )
Ya Dino, aku akan merindui kau sepanjang hidupku ini. Aku ingat aku akan pergi meninggalkan kau, rupanya kau yang telah pergi meninggalkan aku dahulu. Bisik hati kecil atok. Didalam bungkusan itu ada satu mug yang berwarna hijau jernih, tanpa sebarang hiasan mahupun tulisan disekelilingnya. Sungguh cantik sekali.
Atok dapat tahu daripada keluarga si arwah bahawa Dino meninggal dunia dalam keadaan sedang bersujud, mungkin selepas bersolat subuh. Semasa ditemui meninggal dunia , mata arwah didapati basah. Dikatakan juga arwah menangis sebelum dia menghembuskan nafasnya yang terakhir. Masa arwah nak dikebumikan, atok seperti terlihat dia sedang tersenyum pada atok. Mungkin itu hanyalah perasaan atok sahaja. Semoga Allah matikan Dino dengan husnul-khatimah, matinya dengan kesudahan-kesudahan yang baik serta diampuni segala dosa. Hanya doa yang dapat dihadiahkan buat rohnya, insyallah.
"Kasihannnya dia... atok mesti rindu kat dia kan?" Tanya Aizul yang sejak dari tadi khusyuk mendengar cerita atoknya. Kini baru bersuara.
"Mestilah atok rindu kat dia sebab dia sahabat karib atok. Tapi, Allah lebih sayangkan dia, sebab itulah Allah jemput dia dulu. Biarlah dia pergi, kita yang masih hidup ni kenalah berdoa untuk dia." Aizul mencelah lagi, "tapi tok, macam mana mug ni boleh retak?"
"Ohh... lupa pula atok yang Aizul tanya pasal tu. Mug ni bukannya mak Aizul yang pecahkan. Masa mug tu pecah mak Aizul belum lahir pun lagi. Nasiblah tak hancur berkecai. Sekurang-kurangnya boleh lagi atok gamkan mug ni balik. Entahlah, atok dah sayang sangat pada mug ni, pasal itulah atok buatkan satu bekas khas untuk letak mug ni." Terang atok. Aizul nampaknya puas hati dengan penerangan tersebut.
"Ada nak tanya apa-apa lagi?" saja atok bertanya. Aizul hanya menggeleng-gelengkan kepala saja. "kalau macam tu, Aizul tolong atok kemaskan kat sebelah sana pula. Lepas tu, kita rehat makan kuih yang nenek Aizul tengah masak tu. Bau dia macam sedap jer... rasanya tak tahu lagi lah. Kalau cepat siap, bolehlah kita makan cepat." Tanpa banyak berbicara, Aizul menurut sahaja. Gembira rasanya dia hari ini. Diambilnya bekas kayu berisi mug itu kepangkuan. Dilapkan ia dari kotoran dan habuk-habuk yang melekat sekian lama. Kehilangan Dino kini terasa kembali, bagaikan ia baru berlaku semalam. Diperhatikannya mug itu dan terus tersenyum...
'Dino, tiada lagi sahabat yang dapat ku cari buat pengganti dirimu. Moga rohmu dicucuri rahmat illahi. Perpisahan kita ini hanya sementara cuma. Dengan izin Allah, masanya akan tiba untuk aku bertemu denganmu disana. Semoga Allah tempatkan aku dan engkau dikalangan mereka yang soleh dan beriman dengan sebenar-benar iman kepadaNya. Kaulah sahabatku Dino, selamanya didunia dan diakhirat kelak, insyallah'

0 ulasan:
Catat Ulasan